LAPORAN LAWATAN KELAB BAHASA JEPUN KE SHAH ALAM DAN KUALA LUMPUR
PADA 16 DAN 17 JULAI 2011
Pada 16 dan 17 Julai 2011, Kelab Bahasa Jepun Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh (STAR) telah mengadakan lawatan ke Shah Alam dan Kuala Lumpur. Tujuan Kelab Bahasa Jepun STAR mengadakan lawatan ini adalah bagi mengikuti Pesta Bon Odori ke-35 di Stadium Matsushita, Shah Alam yang diadakan pada tiap-tiap tahun anjuran Kelab Jepun Kuala Lumpur, Sekolah Jepun Kuala Lumpur dan Kedutaan Jepun. Di samping itu, Kelab Bahasa Jepun STAR turut mengadakan lawatan sambil belajar ke Pusat Sains Negara dan Pesta Flora Putrajaya.
Seramai 35 orang ahli kelab dan dua orang guru pengiring menyertai lawatan pada tahun ini. Pada 16 Julai, kami bertolak pada pukul 7.30 pagi daripada sekolah dengan menaiki bas sekolah menuju destinasi. Suasana sepanjang pejalanan amat ceria. Sekian lama berada di dalam bas, akhirnya dapat kami berehat seketika di R & R selama setengah jam kemudian menyambung semula perjalanan kami. Lebih kurang pukul 11.30 pagi, kami tiba di Pusat Sains Negara (PSN), Bukit Kiara. Kami berpeluang menimba ilmu di sana selama sejam setengah.
Di PSN terdapat banyak pameran yang menarik dan memberikan ilmu pengetahuan buat kami semua. Kami juga berpeluang melawat bilik bertema ‘Dinos Alive!’. Setelah puas berjalan di dalam PSN, kami menjengah seketika ke kedai cenderamata PSN. Tepat jam 1.10 tengahari, setelah semua pelajar dan guru menaiki bas, kami bertolak menuju ke tempat penginapan kami iaitu Pusat Belia Antarabangsa. Sebelum tiba di Pusat Belia Antarabangsa, kami berhenti seketika untuk makan tengahari. Selesai makan dan mendirikan solat jamak, kami meneruskan perjalanan. Akhirnya tiba juga kami di Pusat Belia Antarabangsa. Sungguh tidak kami sangka akan tempatnya. Sangat bagus dan cantik. Setelah guru pengiring kami mendaftar masuk, barulah kami dibenarkan masuk ke dalam bilik masing-masing. Infrastruktur penginapan sangat memuaskan hati kami semua. Pukul 5.00 petang, setelah bersiap-siap, kami menaiki bas semula dan menuju ke Stadium Matsushita, Shah Alam untuk turut sama-sama mengikuti Pesta Bon Odori.
Setibanya di sana, kami mendapatkan cenderahati. Ramai yang hadir pada tahun ini jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya. Bertemakan ‘Arigato Malaysia’, Pesta Bon Odori dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada wakil penganjur diikuti paluan ‘Taiko’. Mengikut program yang telah diatur, pintu pagar dibuka pada pukul 5.00 petang. Pada 7.00 malam, pembukaan dengan persembahan drum diikuti dengan tarian kebudayaan bahagian pertama pada pukul 7.15 malam. Seterusnya, persembahan tarian oleh tetamu pada pukul 7.45 malam. Pada pukul 8.00 malam, para hadirin sekali lagi mengikuti tarian kebudayaan untuk bahagian kedua dan seterusnya ketiga pada pukul 8.45 malam diselangkan dengan persembahan oleh tetamu. Tepat jam 9.15 malam, acara penutup diadakan. Walaupun penat, kami gembira berada di sana tambahan lagi dapat bertemu dengan sahabat-sahabat kami pelajar Sekolah Berasrama Penuh yang lain. Pukul 9.30 malam kami semua berkumpul di hadapan pagar dan bertolak pulang ke penginapan.
Ahad, 17 Julai 2011, kami bangun kemudian bersarapan pagi pada pukul 8.00 pagi. Pada pukul 9.00 pagi, kami daftar keluar daripada Pusat Belia Antarabangsa ke Mid Valley Megamall. Walaupun pada awalnya, kami merancang untuk pergi ke Sekolah Menengah Sains Seri Puteri untuk mengadakan aktiviti bersama ahli kelab mereka namun kami hanya mampu merancang semata-mata. Banyak perubahan yang perlu dibuat saat-saat akhir. Walau bagaimanapun, kami tetap gembira kerana dapat berada di Mid Valley lebih lama. Setelah bergembira di Mid Valley. kami menuju ke Pesta Flora Putrajaya juga bukan rancangan kami pada awalnya. Tidak berkesempatan kami ke Sekolah Berasrama Penuh Intergrasi Gombak atas permasalahan yang timbul di sekolah sana tetapi tidak mengapa kerana Pesta Flora Putrajaya sudah memadai buat kami yang sudah kepenatan. Tepat jam 4.00 petang, kami bertolak pulang ke sekolah.
Kami berasa amat gembira dan berasa lawatan Bon Odori pada tahun ini adalah lebih baik daripada tahun lepas. Kami berharap agar pada tahun hadapan akan lebih berjaya daripada tahun ini
Laporan disediakan Oleh, 31 Julai 2011
(MOHAMMAD FAZRUL AMIN BIN RAMLEE)
Naib Setiausaha 2011
Kelab Bahasa Jepun
Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan